Wednesday, May 30, 2012

Laungan Azan

Apa khabar KC, selamat kembali dari Brunei...

Di sini saya ada ada kisah yang berlaku di tempat kerja saya yang terletak di Chin Bee Drive. Tempat ini boleh dikatakan bangunan gedung terbesar dan tertinggi di kawasan Chin Bee. Kalau kita naik diri di platform MRT stesen Boon Lay atau Lakeside, boleh nampak dengan jelas bangunan ini. Di sebelah bangunan ini, ada sebuah kawasan perumahan pekerja2 Bangladesh. Bilik2 dan juga dapur mereka jelas kelihatan kerana tempatnya betul2 sebelah tempat kerja saya.

Ceritanya begini. Saya ni bertugas sebagai pembantu bagi pemandu lori. Kalau ada yang bekerja dalam sektor logistik tentu faham apa yang saya maksudkan. Selalunya, saya akan bekerja dengan pemandu dan seorang lagi pembantu. Dan kami akan ke tempat2 tertentu untuk menghantar atau mengambil fail2 dan dokumen. Memandangkan kerja pada hari itu tidak begitu "teruk", bos saya mengarahkan hanya dua orang sahaja melakukan tugas tersebut; satu pemandu satu pembantu.

Selepas habis semua kerja pada hari itu, kami pun pulang kembali ke bangunan kami di Chin Bee untuk meletakkan lori dan kami akan pulang memandu van pula. Waktu itu hampir masuk waktu Isyak dan tempat letak lori ni betul2 di bahagian belakang gedung tersebut. Setelah meletakkan lori, saya dan pemandu pun turun dan menuju ke van untuk memandu pulang. Sedang kami berjalan, terharu dibuatnya, kawasan perumahan yang bersebelahan gedung saya bertugas, terdapat sekumpulan Bangladesh sedang berdiri seolah-olah sedang bersolat jemaah. Maksudnya ingin bersembahyang Isyak. Kemudian seseorang daripada mereka mula melaungkan azan. Kuat dia melaungkan. Sejuk hati saya...

Tetapi, apa yang berlaku pada waktu yang sama amat mencurigakan. Sedang azan Subuh dilaungkan, saya dan rakan saya kedengaran seperti ada budak2 sedang ketawa!!! Cukup jelas kami dengar, berkali kali kami dengar. Selalunya kalau kiter terdengar budak2 ketawa, kita akan fikir yang mungkin mereka bermain di taman permainan atau sebagainya. Secara kebetulan, bila kedengaran begitu, kami akan berada berdekatan dengan taman permainan, dan memang ada budak2 bermain di situ...

Di situ TIDAK ADA taman permainan. Tidak ada budak2 kelihatan. Semakin jelas ketawa itu kedengaran... Meremang bulu roma saya... tapi, kami seperti dalam keadaan yang tidak mengendahkan.. Sejuk kedengaran laungan azan dan panas akibat kedengaran suara budak2 ketawa. Dengan tidak berlengah, kami memasuki van dan terus pandu keluar dari tempat tugas kami...

Terima Kasih KC & Selamat Tengah Malam...

TERIMA KASIH ZUL!!!

Roh Gentayangan di Tangkuban Prahu...

Assalamualaikum KC dan pendengar setia MJ12,

Nama saya Halifah dan saya ingin berkongsi pengalaman yangpernah saya alami bersama keluarga. Ini pengalaman misteri yang mungkin sukar diterima atau dipercayai oleh sebahagian orang, terserah pada pendengar untuk menilainya, tetapi kejadian ini benar2 berlaku yang tiada tokok tambah, kurang atau melebihkannya.

Pada tahun 2008, 13hb Disember, saya, suami dan tiga dari empat anak2 saya, berangkat ke Jakarta. Setelah tiba di sana, kami berbincang tentang lawatan yang diatur oleh pak supir (pemandu), dia mencadangkan untuk ke Bandung dan Tangkuban Prahu. Kami setuju dan berangkat keesokan harinya.

Dipendekkan cerita, dalam perjalanan pulang dari Tangkuban Prahu, kami terus ke Ciater untuk bermandi air panas. Ketika keluar dari Ciater, anak lelaki saya yang pertama mengatakan dia merasakan bahunya seperti memikul beg yang terlalu berat. Hati saya mula merasakan sesuatu yang tidak sedap. Saya dapati dia mulai demam, dan meracau dalam perjalanan pulang setelah makan malam.

Dalam perjalanan ke kota Bandung, anak saya ini duduk di kerusi paling belakang bersama anak perempuan saya yang bongsu, yang berasa resah kerana abangnya yang meracau dan menunjuk2 ke luar tingkap, sambil berbual dalam bahasa yang anak bongsu saya tidak faham. Setelah saya memberi ubat padanya, dia pulih hanya buat seketika, dan panas badannya akan naik lagi, dan panas sekali. Pak supir pun membawa kereta dengan laju sekali, agar cepat pulang ke hotel di Jakarta.

Pada malam itu, suami saya menemaninya di kamar hotel, jadi anak lelaki yang kedua tidur bersama saya dan anak bongsu saya. Malam itu anak saya yang sakit tidur dalam ketenangan, hanya demam yang boleh dikawal. Namun, malam berikutnya, bila anak lelaki kedua saya tidur bersama abangnya, gangguan mulai berlaku. Dia menelefon suami saya untuk menggantikan tempatnya, kerana abangnya mula berbual seorang diri. Suami pun bergegas ke sana, dan memanggil saya untuk turut ke kamar mereka. Saya menyuruhnya mencari bantuan dari pekerja hotel, mungkin ada antara mereka yang pintar dalam hal itu. Sementara menunggu, anak saya mengadu bahawa ‘dia’ duduk di perutnya. Saya pun bermula membaca Ayat Kursi.

Kelihatan anak saya berkomunikasi dengan makhluk halus itu. Katanya, “Ibu, dia boleh membaca semua ayat2 yang ibu bacakan, tapi “dia” bertanya kenapa ibu tak suka padanya” Saya hanya menjawab di dalam hati, “Kerana engkau bukan makhluk sejenis aku...” Saya mengharapkan dia mendengar jawapan saya kerana saya tahu makhluk2 ini mendengar kata2 hati kita.

Ketika ayat2 suci Al-Quran kedengaran dari masjid yang berdekatan ketika hampir Subuh, anak saya mengatakan bahawa “dia” pamitan (mohon) pulang, sambil menangis di hujung katil. Setelah azan Subuh berkumandang, suami saya pulang bersama seorang pengawal keselamatan yang beragama Kristian yang tidak boleh membantu kerana "dia" sudah pulang ke tempatnya.

Pada siang harinya, saya hubungi Pak supir, mengharapkan dia mencari orang yang pintar dalam hal ini serta beragama Islam. Dia datang dengan seseorang dan terus memegang lutut anak saya yang sedang berbaring di katil. Lalu dia bertanyakan, “Siapa di antara ibu dan bapak yang berketurunan Jawa?” Saya menjawab, “Saya, kerana ayah saya memang asli Jawa, kelahiran Jawa Timur...” Dia memegang lagi lutut anak saya, lalu menceritakan, “Gadis itu adalah roh yang gentayangan di Tangkuban Prahu kerana mati bunuh diri, putus cinta dengan pria yang kebetulan darahnya ada mengalir di dalam anak ibu...” Bererti pria itu bertalian saudara dengan saya. Dia memberitahu yang gadis itu anak yang soleh, beribadah dan pintar mengaji, tapi kematiannya yang tragik, kerana membunuh diri membuat dia gentayangan kerana mati sesat. Yang membuat bahu anak saya berat ketika pulang dari Ciater, adalah kerana dia mengencang dan mengikut pulang ke hotel di Jakarta.

Saya mengharapkan dia dapat menghentikan segalanya di situ, agar roh gadis itu tidak terus mengikut kami pulang pada petang itu nanti, tapi dia menjawab, “Makhluk Allah itu ada batas2annya, “dia” tidak akan ikut kamu pulang jauh, justeru itu dia mengganggu anak ibu agar anak ibu tidak pulang dan malah mengikut “dia” ke alamnya.” Anak saya dalam perjalanan pulang dengan demam yang amat tinggi suhu badannya. Sesampai di Singapura, suami saya terus membawanya ke hospital pada malam itu juga, jam 10 malam.

Hanya setelah setahun kemudian, anak saya memberitahu yang dia ada melihat seorang gadis di lereng Tangkuban Prahu memakai baju merah dan melambai2 padanya sambil tersenyum pada anak saya, dan anak saya membalas lambaian sambil memberitahu pada adik lelakinya yang tidak dapat melihat keberadaan gadis yang melambai itu. Oh ya gadis itu ada memberitahu namanya, “Maya Hertissa”.

Itulah peristiwa yang saya dan keluarga alami, melancong buat pertama kali ke Jakarta yang membuat anak saya tidak gemar untuk melancong ke mana2 pun daerah di Indonesia lagi.

Sekian terima kasih...

TERIMA KASIH HALIFAH!!!

Tuesday, May 15, 2012

Pengalaman Sewaktu Perkhemahan Di Lim Chu Kang

Selamat malam KC dan semua pendengar MJ12,

Nama saya ZAZA KAKCHIK. Kejadian ini berlaku terhadap diri saya sendiri hampir empat tahun yang lalu. Sampai sekarang detik hitam yang sungguh menyeramkan ini tidak dapat terhapus dari minda saya. Waktu itu saya masih menengah tiga. Saya dari salah satu pasukan berseragam di sekolah. Semasa kejadian itu, saya harus menjalani latihan di sebuah tempat latihan yang terletak berdekatan dengan daerah Lim Chu Kang! Sebaik sahaja tiba, kami semua harus berpecah mengikut kumpulan masing-masing untuk ke bilik rehat kami, yang lebih dikenali sebagai "BUNK". 

Setiba sahaja di "bunk", di antara lapan orang di dalam bilik itu, saya orang yang terakhir masuk. Ya Allah, menyesal saya! Oleh kerana saya berjalan berlengah-lengah, tinggal satu saja pilihan katil untuk saya. Katil saya betul-betul berdekatan dengan pintu. Geram saya. Dipendekkan cerita, malam pun tiba. Siap pukul 10 malam, lampu disuruh padam. Sekitar pukul 12 tengah malam, saya terbangun keranarasa panas sekali. Panas bercampur bahang. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya betul-betul tidak boleh tidur... Saya pun duduk, nasib baik bukan saya seorang sahaja, rupa-rupanya ada juga kawan saya yang masih terjaga lagi. Mereka juga rasa panas. 

Tiba-tiba saya ternampak ada satu kipas yang terletak betul-betul di tepi almari kawan saya. Saya pun turun dan cuba hendak menghidupkan kipas angin itu. Malangnya tidak boleh. Tiba-tiba terdengar suara, "SIAPA ITU BELUM TIDUR LAGI?!" Alamak! Sarjan kami! Saya pun mengadu padanya bahawa kami semua rasa panas sebab kipas rosak. Pada malam itu juga Sarjan saya memanggil tiga orang sukarelawan, termasuk saya, turun ke bilik stor dan mengambil dua kipas angin elektrik. Kami pun turun dengannya. Perjalanan ke bilik stor mengambil masa hampir 10 minit. Kami harus turun dari tingkat empat bangunan dan merentas tiga bukit kecil. Bukit itu ada tangga kecil. Jadi tiada masalah untuk kami. 

Tiba sahaja di depan bilik stor, sarjan suruh saya pegang lampu suluh dengan beg yang dia bawa kerana harus membuka pintu. Selepas itu saya beri semula barang itu padanya. Saya orang pertama masuk bilik stor dan mengambil kipas lalu berikan pada kawan saya. Ada satu kipas lagi yang saya harus bawa. Sebaik sahaja kipas sudah diangkat. Saya pun suruh kawan yang di depan mula berjalan. Sebab, saya terasa belakang kipas sudah diangkat. Kipas yang mulanya berat menjadi ringan. Sebab itu saya pasti dan yakin sarjan sudah angkat belakang kipas itu. 

Bayangkan perjalanan yang harus kami tempuhi untuk balik ke "bunk" kami. Bagaimana kami pergi, begitulah laluan yang harus kami tempuhi semasa hendak pulang ke bunk, tetapi kali ini kami harus naik bukit Setiba sahaja di tingkat tiga, ada lagi satu tingkat yang harus kami naik. Dan sesuatu berlaku, "PAAAAAPPP!!!!!!" Kipas yang saya angkat terjatuh!!. Tanpa disedari, saya rasa kipas itu berat sekali!! Kawan saya semua terperanjat. Saya mula takut. Bulu roma semua berdiri. Tiba-tiba, saya mula sedar. Di mana sarjan saya??? Sepanjang perjalanan tadi suaranya pun tidak kedengaran. Malah suluhan lampu pun tidak kelihatan. Saya baru perasan. Astaghfirullahal'azim. Siapa yang angkat kipas dengan saya tadi??? Pada malam itu, saya, dan dua kawan saya tidak boleh tidur. Itu sahaja yang boleh saya kongsi bersama. Selamat malam dan terima kasih.

IMMAH_HUZ

Terima kasih IMMAH!!!

Bilik Mayat: Panggilan Dari Siapa???

Assalamualaikum KC,

Cerita ini bukan berlaku pada saya tetapi berlaku pada pakcik saya yang bekerja di bilik mayat, di sebuah hospital di bandar Johor Bahru. Kisah yang diceritakan ini berlaku semasa pakcik saya mendapat panggilan kecemasan dari pihak hospital yang mengatakan ada satu mayat dalam perjalanan yang harus diuruskan. Pakcik saya pun terus pergi ke bilik mayat untuk membuat persiapan dengan kawan kerjanya, tetapi pakcik saya orang pertama yang sampai di bilik mayat tersebut. 

Bila sampai, pakcik terperasan macam ada orang sedang berdiri di depan pintu bilik mayat tersebut tetapi pakcik saya tak fikir apa-apa masa itu. Sebab pakcik saya ingat itu kawan sekerjanya. Bila pakcik saya menghampiri bilik tersebut, lelaki itu terus beredar dan berjalan ke bangunan lain. Pakcik saya tak fikir apa-apa terus membuka pintu. Baru saja pakcik saya hendak melangkah masuk ke dalam bilik mayat itu, tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. "Astaghfirullahal'azim..." pakcik saya terus mengucap. Bila pakcik saya toleh belakang, terperanjat apabila yang berada di belakangnya merupakan orang yang dia nampak tadi, yang berdiri di depan pintu, tetapi mukanya terkopek, kulit kepala tersiat sampai nampak tulang tengkorak. 

Pakcik saya terus membaca ayat2 suci dan terus membaca. Makhluk itu terus hilang dari pandangan. Pakcik saya terus menelefon kawannya sebab tak sampai-sampai dari tadi. Nak tahu apa kawannya cakap??? "Apa kau merepek ni, aku tak dapat apa2 panggilan pun..." Pakcik saya pun dah mula menggelabah, terus cepat2 tutup pintu bilik mayat itu. Ketika menutup pintu, terdengar suara orang menangis betul2 di belakang pakcik saya. Masa itu hanya Tuhan saja yang tahu perasan pakcik saya. Menggigil tangan pakcik saya semasa hendak kunci pintu itu. Pakcik saya menguatkan diri cuba menoleh ke belakang. Benda itu betul2 muncul di depan muka pakcik saya dan pakcik saya lantas menjerit, "Ya Allah..!!!" dan terus pengsan. Sekarang pakcik saya sudah berhenti kerja sejak kejadian yang menyeramkan itu. Yang peliknya siapa yang menghubungi pakcik saya???

Orang JB

TERIMA KASIH ORANG JB!!!

Friday, May 11, 2012

Dibuat Orang

Asalammualaikum KC dan para pendengar Misteri Jam 12, 

Saya Zamzam (bukan nama sebenar saya). Bila terdengar kisah kak Hamidah tempohari, memang sesuatu yang tidak pelik sebab saya sendiri alami di rumah lama saya di kawasan AMK. Saya tak sangka pada zaman millenium gini orang masih menggunakan benda2 halus untuk kenakan orang lain. Saya pula menjadi mangsa. 

Pada tahun 2009, isteri selalu perasan di depan pintu rumah selalu ada tanah bila dia menyapu. Bila dia mengadu, saya katakan mungkin dibawa angin. Tapi bila rezeki macam terganggu dan isteri masak nasi sering jadi bubur, saya rasa tak kena. Panggil pakar untuk tengok, alangkah terperanjatnya bahawa banyak benda2 halus berkeliaran. Saya dapatkan bantuan pakcik saudara orang rumah dari JB, letakkan 8 biji buah kundur di penjuru rumah, dan kundur semua diisi. 

Selepas solat, saya tengok bahawa kundur semua busuk dalam masa singkat tak sampai 24 jam diletakkan. Setiap lepas waktu Isyak sebahagian kiri tubuh saya semacam orang terkena angin ahmar, tak boleh bergerak. Masa solat pula, rasa macam sesuatu gerak di belikat saya. Amarah saya juga susah dikawal, namun dapat dikeluarkan Kak Pon dengan Roh orang mati bunuh diri. Namun walaupun dah sembuh dan berpindah rumah lain, tetap dengki khianat ada juga sekali-sekala dia kenakan juga tak habis2. Sampai sini sahaja cerita saya. 

Terima kasih...

TERIMA KASIH ZAMZAM!!!

Pengalaman Perjalanan Ke Melaka

Assalamualaikum DJ KC serta peminat MJ12,

Nama saya Lydia dan ingin saya menceritakan kepada KC serta para pendengar tentang pengalaman yang saya serta keluarga lalui sedetik lalu ketika kami pulang ke Melaka pada musim cuti sekolah.

Pada awal perjalanan, hari masih siang, namun kerana keadaan trafik yang menjadi semakin buruk di lebuhraya Utara-Selatan itu, akhirnya perjalanan kami diheret ke lewat petang. Semasa itu, kami telah meminjam kereta bapa mentua saya yang merupakan sebuah MPV. Kesemua lima orang anak kami berasa begitu ghairah dan setelah beberapa jam bermain bersama, anak-anak kami mula senyap, mungkin kerana keletihan, ada juga yang tertidur. Ketika itu hari sudah mula senja dan Maghrib hampir menjelma.

Tiba-tiba, dalam keadaan senyap itu anak saya yang paling kecil dan masih dalam usia bayi, menangis sekuat-kuat hatinya hinggakan kelihatan seperti dalam keadaan histeria. Suami saya yang ketika itu sedang memandu, cuba untuk menenangkan dan memujuk anak kami. Tetapi anak kami tetap menangis tanpa henti. Keadaan tiba-tiba menjadi kelam-kabut dan saya mulai rasa tidak sedap. Sebenarnya beberapa minit sebelum itu, hati saya sudah berkata, “Oh..inilah kawasan yang orang katakan keras… Bau pun lain macam... Iiish jangan kena sudah!”

Balik kepada keadaan kelam-kabut itu - Fikiran saya menjadi buntu, semakin saya cuba untuk menenangkan anak saya, semakin buruk jadinya. Sambil saya menggendong anak saya itu, sempat juga saya melihat ke luar untuk memastikan tiada apa-apa yang ngeri yang dinampaknya sehingga menangis sekuat itu. Alangkah terperanjatnya saya, apabila saya terperasan di cermin tepi kereta kami, di bahagian tempat duduk saya, tubuh seorang anak kecil berambut panjang seperti menggantungkan tubuhnya di atas kerusi bahagian tengah. Rambutnya menurun ke muka anak saya yang sedang lena tidur di tempatnya. Hati berkata “Eh…takkan ni Zana (anak perempuan kami satu-satunya)… Tak salah dia duduk di sebelah belakang… Takkan dia nak buat macam tu…” Saya garang orangnya dan biasanya kalau anak berlaku nakal, saya akan memarahi mereka dengan serta-merta.

Saya tak terkata dan mendiamkan diri dan cuma menyuruh suami memasang CD ayat-ayat suci dengan sekuat-kuatnya. Ibu mana yang tidak cemas melihat anak-anaknya di belakang bersama ‘makhluk’ itu? Seribu satu perasaan bermain di dalam fikiran saya, tapi kerana tidak mahu membuat keadaan lebih buruk lagi, saya tetap mendiamkan diri dan membaca berbagai surah Al-Qur’an di dalam hati. Kemungkinan makhluk itu bergantung di situ selama tiga hingga lima minit, tapi rasanya seperti lebih lama dari itu.

Akhirnya anak kami berhenti menangis dan saya memberanikan diri dan menoleh ke belakang. Alhamdulillah, ‘makhluk’ itu tiada lagi di situ dan anak saya yang pada masa itu berada di bawah ‘makhluk’ itu masih tidur lena. Saya terus mencium bayi kami dan terus membaca surah-surah sambil menyembuh ke dahinya. Saya juga memberitahu suami supaya memandu dengan laju lagi supaya sampai ke destinasi secepat mungkin.

Keesokan harinya saya terus memberitahu suami dan alangkah terperanjatnya dia dengan apa yang diberitahu. Semenjak hari itu, kami tidak lagi memandu di lebuhraya itu pada waktu malam.

Terima kasih KC...

TERIMA KASIH LYDIA!!!

Bunyi Suara Merayu Dari Tempat Bara Api...

Assalamualaikum KC,

Salam hormat dari jauh buat KC & teman-teman MJ12 di mana-mana sahaja...

Kakak ada suatu pengalaman misteri yang berlaku baru-baru ini untuk berkongsi sama. Setiap malam bila MJ12 ke udara jam 12 tengah malam (5 petang di UK), selalunya Kakak di dapur mendengar sambil memasak untuk makan malam jadi kadangkala bila tidak dapat menghantar komen di Facebook, stress juga... Baiklah, ini cerita Kakak...

Rumah kakak ada mempunyai sistem pemanas rumah yang menggunakan radiator dan juga tempat bara api untuk memanaskan rumah bila musim sejuk. Kerana Kakak tinggal berdua sahaja dengan suami (anak-anak semua sudah ada rumah sendiri) tidak payah menggunakan sistem pemanas untuk memanaskan satu rumah, jadi kami lebih selalu menggunakan tempat bara api di ruang tamu. Dan juga jimat sikit minyak yang digunakan untuk alat pemanas itu (ada rumah menggunakan gas atau elektrik tapi kami menggunakan minyak).

Tempat api kami bukan yang terbuka seperti yang selalu kita lihat dalam filem-filem barat. Tempat api kami bergelar "Log-burner" atau tempat bakar kayu, bersih sikit and kurang habuk dari abu yang keluar dari tempat bakar itu (lihat gambar yang Kakak lampirkan). Oleh kerana rumah kami dikelilingi hutan simpanan, suami Kakak kalau dia rajin di hujung minggu akan naik basikalnya dan pergi mencari kayu. Kayu-kayu di hutan peliharaan boleh diambil jika ia berada di atas tanah. Tidak dibenarkan memotong dahan yang masih di pokok atau menebang pokok-pokok yang ada. Selalu, Kakak akan jerit ‘nak cari kayu…nak cari kayu’ bila dengar bunyi enjin basikal dihidupkan. Suami Kakak akan ketawa kerana sudah dijelaskan mengenai frasa lucu ini dari filem Melayu lama.


Sepatutnya, sekarang ini musim bunga, suhu sudah mula panas sedikit tetapi kalau terlihat ramalan cuaca di UK baru-baru ini, masih di antara 2-9 darjah Celsius. Sepatutnya sekarang di antara 12-19 darjah Celsius dan beberapa hari lalu pada waktu malam, jatuh ke bawah suhu -3 darjah Celsius!!! Jadi kami masih menggunakan tempat bakar kayu yang selalunya pada bulan April Kakak sudah bersihkan dan tidak digunakan sampai musim sejuk datang lagi.

Apa yang terjadi dua minggu yang lalu, sedang kami duduk menonton televisyen, terdengar semacam bunyi atau suara sedang merayu… huuuuu-uuuuu...uuuuu… Sungguh sayu tapi jelas. Kakak dan suami berpandangan satu sama lain dan cuba mendengar lagi. Bunyi atau suara itu hilang. Tidak lama kemudian, berbunyi lagi. Suami kata mungkin bunyi angin di luar, kebetulan memang malam itu hujan turun. Kami pun buat tak endah sahaja dan teruskan menonton. Bunyi atau suara itu semakin kedengaran lagi dan sah dari dalam rumah.

Jadi Kakak perlahankan bunyi suara televisyen untuk mendengar lagi dan mencari dari mana datangnya bunyi itu. Rupa-rupanya, bunyi atau suara yang kedengaran itu datang dari tempat bakar kayu. Kakak buka tempat pembakar itu dan menyusun semula kayu-kayu di dalamnya dengan harapan jangan berbunyi lagi. Beberapa ketika, berbunyi lagi. Kakak rasa tidak sedap – nak kata seram tidak tapi merinding. Kami tinggal di sini sudah bertahun-tahun dan membakar kayu sudah bertahun-tahun, inilah kali pertama bunyi seakan suara rayuan kedengaran semasa membakar kayu.

Biasalah, orang-orang Barat selalunya tidak percaya kepada hantu, jadi suami cuma berkata tidak ada apa-apa. Kakak bertanya jadi cuba terangkan mengenai bunyi yang kedengaran, dia cuma kata mungkin jenis kayu atau kayu basah. Pokok-pokok di hutan simpanan ini semuanya ada beberapa jenis dan sama jenisnya merata-rata. Nak kata kayu basah, dah berapa kali kami bakar kayu basah. Akhirnya, Kakak tidak puas hati dan terus bertanya lagi, di mana suami Kakak mengambil kayu kali ini. Suami menjawab, di hutan simpanan kecil selepas padang tanaman di belakang rumah kerana hutan yang selalu dia ambil kayu sudah tidak ada lagi di atas tanah, dilarang potong pokok atau dahan dan dia malas untuk pergi ke tempat yang lain. Dan inilah kali pertama, dia mengambil kayu di tempat ini.

Ada kemungkinan, wallahu'alam bissawab, bunyi atau suara rayuan yang kami dengar datang dari kayu pokok di mana seorang kanak-kanak berumur 15 tahun menggantungkan diri pada tahun 21 March 2005 kerana dibuli di sekolahnya. Baru tadi Kakak pergi ke tempat itu untuk petik gambar pokok berkenaan buat anda lihat. Selalu ada bunga-bunga yang diletak di bawah pokok atau diikat pada pokok yang mungkin diletak oleh ahli keluarga si mati. Kayu-kayu yang diambil di tempat yang sama, Kakak sudah bakar di luar rumah bila suami pergi kerja dan Kakak suruh suami berjanji jangan ambil kayu di tempat itu lagi…

 
Ini lah satu perkara misteri yang ingin Kakak berkongsi sama. Kisah benar yang kakak alami baru-baru ini, bukan di buat. Terima kasih KC.

Dari Peminat setia KC & Kelab Kelakar Seram di England,

Momok MJ12 Kak Norkiah 

TERIMA KASIH KAK NORKIAH!!!

Tuesday, May 8, 2012

Merasai Mati

Salam KC...

Saya Reena. Sudah lama saya nak menceritakan kisah ini. Ianya mungkin bagi sesetengah orang tidaklah berapa seram tapi ia menarik untuk diceritakan. Tahun lepas saya telah terlibat dengan aktiviti NGO Islam di negeri saya iaitu cara-cara mengkafan dan memandikan jenazah. Antara modulnya ialah kita dapat merasakan pengalaman berada di dalam lubang kubur di tanah perkuburan Islam. Saya adalah satu-satunya wanita yang terpilih untuk merasai pengalaman berada di dalam kubur. Mulanya hanya wakil lelaki sahaja yang berani melakukannya tetapi entah bagaimana saya yang mencadangkan saya pula yang terpilih. 

Mulanya saya tidak mahu tetapi entah macam mana saya beranikan diri dan cuba merasai pengalaman berharga ini. Di sini saya hendak memberitahu kepada semua, sewaktu saya baring di dalam lubang tersebut. Seperti yang kita lihat, lubang nampak sempit dan hanya muat-muat sahaja, akan tetapi semasa saya baring di dalamnya, ia seperti luas, seolah-olah duduk di dalam bilik yang besar dan berhawa dingin. Amat selesa, pelik bukan? Saya berada di dalamnya tidak lama kerana saya risau pada masa itu saya datang bulan. 

Setelah semuanya selesai, kami semua pun pulang, akan tetapi, saya telah dinasihatkan oleh rakan supaya mengambil air sembahyang sebelum balik. Di dalam hati saya terdetik, bagaimana hendak mengambil air sembahyang sedangkan saya sedang datang bulan? Semasa dalam perjalanan pulang, saya terhidu bau yang busuk, sangat kuat. Saya cium bau badan saya, tiada apa-apa bau. Saya cium badan rakan saya, pun tiada bau. Bau tadi mengekori saya dari tanah perkuburan tadi sehinggalah saya balik, sangat kuat. Hati saya dah rasa tak sedap...

Saya : You ada bau apa-apa tak? (saya berbisik)

Rakan : Ada... Kuat sangat... Macam kat sebelah...

Saya: Shhhhh... Jangan cakap apa-apa... Diamkan diri... Kita cerita benda lain...

Semasa sampai di rumah, bau itu masih lagi kuat. Saya suruh kawan saya temankan saya. Saya pergi bilik air dan mandi, akan tetapi bau itu masih ada. Kuat seperti tadi. Saya kuatkan hati dan berkata kepada 'benda' itu...

Saya: Saya minta maaf sekiranya saya telah menyinggung atau telah melakukan sesuatu yang tidak baik... Saya berniat baik, untuk belajar... Saya tahu kamu pun makhluk Tuhan... Tolong jangan ganggu saya lagi... Saya minta maaf... Saya betul-betul minta maaf... Saya betul tiada niat jahat... Hanya untuk belajar sahaja...

Saya baca Ayat Kursi 7 kali dan 3 Qul... Selepas itu bau itu pun tiada lagi...

NGO Islam kami hendak membuat modul tersebut sekali lagi, tetapi akan melakukannya pada waktu malam di tanah perkuburan Islam dan akan meninggalkan peserta di dalam kubur untuk beberapa jam dengan badan dibalut kain kafan bagi merasai mati... Bagi saya pengalaman seperti ini amat menyedarkan bagi sesiapa yang leka dengan nikmat dunia, tidak solat dan engkar perintah Tuhan patut menyertainya. Ianya pasti membuka mata dan hati anda!!!

Sekian KC...

Wassalam...

Reen

Wa'alaikumussalam... TERIMA KASIH REEN!!!

Monday, May 7, 2012

Bau Hamis

Assalamualaikum KC dan pendengar MJ12,

Cerita yang ingin saya cerita ini taklah seram. Bila saya mendengar cerita kisah seorang pendengar pada hari Jumaat lepas mengenai kisah di Hospital KK, saya teringat peristiwa yang saya alami pada tanggal 11.12.06. Waktu itu saya berada seorang diri di bilik bersalin.

Sebenarnya tarikh tersebut bukan tarikh sepatutnya saya melahirkan anak. Tarikh tersebut adalah tarikh saya melakukan pemeriksaan lanjutan. Tarikh sebenarnya untuk melahirkan adalah 16.12.06. Pada hari Isnin itu saya perlu melakukan satu ujian yang memerlukan pakar bidan memeriksa degupan jantung bayi. Memang hari berkenaan saya memang penat sangat-sangat, maklumlah dah sarat. Saya seorang diri semasa itu kerana saya harus balik kerja pada sebelah petang. Ujian dijalankan sebelah pagi. Ini dilakukan di klinik biasa. 

Ujian itu memerlukan semacam tali pinggang diikat di perut, memerlukan pesakit baring. Bayangkan tidak selesa dan pinggang punyalah sakit. Akhirnya keputusan ujian gagal. Doktor beritahu bayi saya dalam keadaan kurang baik. Degupan jantung tak menentu dan saya harus melahirkan hari itu juga kerana doktor tak mahu ambil sebarang risiko. Sebenarnya saya yang tertekan, bukan bayi. Atas dasar nasihat doktor dan persetujuan suami, dengan hati yang berat saya pun setuju, pada hal saya belum bersedia melahirkan.

Saya dibawa ke wad bersalin. Selepas semua dah dipersiapkan, doktor bidan pun sampai. Masa itu dalam pukul satu lebih tengahari. Saya ingatkan doktor itu nak buat apa, rupanya nak pecahkan air ketumban saya dan memberikan suntikan ubat penenang. Selepas diberikan suntikan itu saya ditinggalkan bersendirian. Selang beberapa minit saya terlelap. Dalam keadaan terlelap itulah saya terhidu bau hamis yang sangat kuat. Dalam hati sampai berkata, "Eh kenapa aku masuk kedai jual ikan?" Memang berat nak buka mata tapi kerana bau hamis yang kuat sangat, saya lawan diri untuk buka mata dan saya dapati saya sebenarnya berada di wad bersalin.

Selepas saya tersedar, baunya sudah tidak ada. Baik-baik nak tenangkan saya bersalin, saya jadi fikiran dan hampir-hampir nak melahirkan secara pembedahan. Alhamdulillah, dengan kehadiran suami serta doa dan tawakal, saya selamat melahirkan bayi seberat 3.6kg pada hari yang sama pada waktu 9.36 malam. Orang cakap kalau terbau macam tu maknanya adalah "DIA" di dalam bilik. Dan bila tanya suami ada tak bau apa-apa, beliau beritahu saya adalah, bau ubat.

Terima kasih dan selamat tengah malam...

Dari,

Hamidah...

TERIMA KASIH HAMIDAH!!!

Thursday, May 3, 2012

Kisah Aneh di Rumah Ibu Bapa

Hi KC,

Nama saya Linda (bukan nama sebenar), saya ingin menceritakan kisah yang berlaku pada saya dan Kakak saya. Perkara ini terjadi pada tahun yang lalu sewaktu Kakak saya dan suaminya tinggal di rumah ibu-bapa saya. Saya, kakak (bernama Mel), dan suaminya bermalam di ruang tamu. Bapa dan adik lelaki saya tidur di bilik mereka.

Semasa saya sedang tidur, saya terasa ada "benda" yang menarik bantal saya. Saya bangun dan lihat ke sebelah kanan saya. Saya ternampak lembaga hitam sedang melihat saya. Saya dengan cepat pusing ke arah kakak saya yang bernama Mel. Saya mengejutnya sampai dia bangun. Dan dengan tiba-tiba dia mula terasa takut. Dia baring dan pandang saya dan berkata "Linda, baca Ayat Kursi dalam hati..." Saya pun mula baca. Tiba-tiba kami terasa semacam ada orang yang lalu depan kami. Kami amat takut hingga membaca ayat2 suci dengan tersekat-sekat. Saya pun dapat ide untuk menghubungi kakak saya dan suaminya.

Kami hubungi mereka beberapa kali tetapi mereka tidak menjawab panggilan kami. Jadi saya membuat panggilan terakhir. Ada orang yang menjawab panggilan kami.

Saya: Hello Kak.*berbisik*
Orang: Asal dengan Korang dua? hehe *Suara orang tua*
Kakak Mel: Linda, letak. Tu bukan Kakak.

Saya pun dengan segera meletak telefon. Tidak ada cara lain, selain menghubungi telefon bimbit saya sendiri. Untuk membuat bunyi bising sedikit untuk bangunkan kakak saya. Saya hubungi dan terus mengubungi talian ke telefon bimbit saya. Barulah kakak saya sedar. Dia melihat kami ketakutan dan bertanya "Kenapa ni?" kami menceritakan semua. Suami kakak saya pun dengan segera melihat sekeliling rumah. Tetapi tidak ada apa2. Saya ternampak bantal saya tercampak jauh dari tempat tidur saya. Jadi, apakah yang mengganggu kami pada waktu itu? Itu saja. Terima kasih...

TERIMA KASIH LINDA!!!

Misteri Mimpi Wanita Berjubah Hitam

Assalammualaikum wr wb,

Diharap KC berada dalam keadaan sihat wal'afiat. Di sini, Lynn ingin berkongsi tentang pengalaman Lynn tiga tahun yang lalu. Waktu itu Lynn baru mendirikan rumah tangga, suami Lynn; Jali selalu mimpikan seorang wanita berjubah hitam namun tak pernah melihat wajahnya.
 
Satu malam sedang lena beradu, Lynn dikejutkan dengan hilaian nenek tua!!! Lynn terperanjat bila lihat suami Lynn yang mengilai dengan nada seperti nenek tua tetapi hilaiannya begitu tajam. Lalu Lynn tepuk dari belakang, suami Lynn seakan-akan tersedar dan hairan mengapa Lynn menepuknya dengan kuat. Namun gangguan itu tak berakhir di situ saja. Dua bulan kemudian Lynn didapati hamil, gangguan mula menjadi-jadi. Suami Lynn bagai tak tentu arah, tidur tak lena.

Kali ini, sedang baru saja nak melelapkan mata, Lynn rasa belakang bahu Lynn dijilat dengan perlahan tetapi Lynn menjadi takut sebab caranya menjilat seperti ingin membaham makanan. Dia ke telinga Lynn dan ketawa sinis. Kerana terlalu takut, Lynn menampar suami Lynn yang tak sedarkan diri. Suara suami seperti seorang wanita bila dia ketawa dengan hilaian yang menyeramkan.

Kandungan Lynn sudah masuk 7 bulan, kali ini suami mimpikan wanita berjubah hitam itu lagi tapi kali ini, wanita itu duduk di sofa ruang tamu, kepalanya menunduk ke bawah sambil tangannya menadah seakan meminta sesuatu dari suami. Lat beberapa hari kemudian, Lynn tumpah darah dan dikejarkan ke hospital. Lynn di dalam wad kecemasan untuk siasatan lebih lanjut. 

Alhamdulillah dengan berkat doa semua teman-teman dan ahli keluarga, bayi dalam kandungan Lynn selamat dan Lynn melahirkan seorang anak perempuan yang comel tapi di lengan kanan bayi Lynn ada tanda hitam yang panjang dari bahu hingga ke sikunya.

Alhamdulillah kini anak Lynn sudah mencecah 18 bulan. Suami pun tak dihantui mimpi wanita berjubah hitam itu lagi. Kami pergi berubat tetapi pakar tak dapat nyatakan siapa wanita bertudung hitam tu...

TERIMA KASIH LYNN!!!

Kondo Tempat Ibu Bertugas

Assalammualaikum Abang KC,

Apa khabar? Mudah-mudahan Abang KC sentiasa dalam lindungan Allah dan sehat selalu. Nama adik Annur, dan adik berusia empat belas tahun. Adik ada pengalaman yang benar-benar terjadi bukan rekaan. Ini cerita benar, adik tak bohong hanya Allah saja yang menjadi saksi ketika pengalaman. Ini berlaku pada diri saya. Kisah ini berlaku di sebuah kondominium di kawasan Old Upp Thomson Rd, tempat di mana ibu saya bekerja sebagai penyelia pengawal keselamatan. Sebenarnya kondo itu masih kosong, belum ada penghuni lagi, tetapi baru saja siap dibina.

Pada 10/02/2012, saya telah mengikut ibu ke tempat kerja, ibu saya kerja pada sebelah malam. Malam itu adalah malam Jumaat, bulan mengambang penuh. Untuk pengetahuan, kondo itu terletak di hadapan Upp Thomson Rd menghadap hutan Old Upp Thomson Rd. Pada malam kejadian, ibu saya bersama dengan Uncle Henry iaitu penolong penyelia pergi meronda kawasan kondo pada pukul 1:00 pagi. Ibu nak ajak saya sekali tapi saya kata takpelah, saya lebih suka duduk di pondok pengawal seorang diri, lagipun ibu saya tak pergi jauh sangat.

Sebenarnya malam itu ada lima orang pengawal yang bertugas. Ibu saya penyelia, Uncle Henry penolong penyelia dan tiga orang pengawal lain. Masa itu tiga-tiga orang pengawal yang lain pergi berehat di bilik rehat. Tinggallah saya seorang diri di dalam pondok pengawal bermain permainan komputer. Saya tak rasa takut kerana pondok itu betul-betul terletak menghadap jalan raya. 

Tiba-tiba, saya rasa seram sejuk yang teramat sangat dengan tak sengaja macam terpanggil saya menoleh ke sebelah kanan jalan yang ada sebatang pokok besar. Betul-beul sebelah pondok pengawal. Jauhnya agak-agak 5 meter saja. Saya terperanjat, jantung saya macam nak tercabut, bila saya ternampak lembaga hitam berbulu panjang, besar dan tinggi berdiri di atas pokok merenung ke arah saya.

Kerana terlalu takut, terus saya masuk bawah meja sambil menutup muka dengan jaket. Ibu saya datang pun saya tak sedar, badan menggigil ketakutan. Ibu tanya, "Kenapa masuk bawah meja, menggigil dan muka pucat?" Saya beritahu ibu apa yang terjadi. Bila saya tengok ke arah pokok, benda itu dah hilang. Kejadian yang menyeramkan ini terjadi lagi malam itu juga, kira-kira 3:00 pagi.

Saya sakit perut, ibu dan Uncle Henry temankan saya untuk ke tandas yang terletak amat jauh di Tower Block, 15 minit berjalan baru sampai situ. Dalam perjalanan ke tandas, saya terasa seperti ada benda di sebelah saya. Tiba-tiba saya melompat masuk ke tengah-tengah antara ibu dan Uncle Henry. Mereka terperanjat dan dapat merasakan ada sesuatu yang sedang mengikut kami. Ibu kata, "Jalan terus, jangan toleh belakang." Rupanya benda itu adalah Kak Pon yang dapat dilihat dari cermin telefon ibu saya. Selepas semuanya dah selesai, kami bertiga berjalan pulang ke pondok pengawal, tiba-tiba angin bertiup kencang dan lampu jalan terpadam. Uncle Henry suruh saya jalan di tengah kerana dia bimbang keselamatan saya. Saya terpekik dan terus lari ke depan apabila ternampak susuk kepala manusia berambut panjang tanpa badan di atas pokok. Selepas sampai dalam pondok pengawal, saya tanya ibu, "Apa benda saya nampak tadi?"

Ibu kata, "Benda itu adalah Polong."

Itulah kejadian yang benar-benar berlaku dan tak akan dapat saya lupakan selama hidup saya, pengalaman yang mengerikan. Terima Kasih kerana sudi berkongsi bersama dengan pendengar setia MJ12. Insya'Allah kalau ada masa saya akan berkongsi cerita seram yang saya pernah alami dalam MJ12 yang akan datang.

Daripada yang benar,

Adik Annur

TERRIMA KASIH ADIK ANNUR!!!

Tuesday, May 1, 2012

Bantal Menyerupai Pocong

Salam KC,

Nama saya Nur. Saya cuma ingin berkongsi gambar ini yang saya lampirkan bersama. Ini bantal saya. Kelihatan seperti makhluk pocong kan? Bantal ini saya ada sejak kecil lagi, cuma baru2 ini biasalah bantal lama jadi koyak sampai macam ini. Saya tak buat2. Ini memang benar. Bila saya dengar tentang cerita pocong semalam membuat saya ingin berkongsi. Selama bantal ini begini, tiada gangguan atau apa2 pun. Jadi saya rasa, Jangan mudah kita percaya, jangan pula kita terikut2. MJ12 Hanya hiburan! :)





TERIMA KASIH NUR!!!

Rumah di Johor

Selamat tengah malam KC,

Saya ingin menceritakan kisah sewaktu menyewa rumah di Sutera Utama, Johor Bahru dua tahun yang lalu. Anak perempuan kami dua orang; seorang 24 tahun & seorang lagi 20 tahun.

Rumah itu bekas pemiliknya orang Singapura tapi telah menjual rumah itu kepada seseorang yang berbangsa India di JB. Ruang dalam rumah itu memang besar dan cantik. Rumahnya tiga tingkat dan mempunyai taman di atas bumbungnya. Di taman itu ada sebuah kerusi malas dan di sebelah bahagian tembok ada bekas asap hitam. Kemungkinan ia menjadi ruang untuk bekas tuan rumah menyembahyang. Rumah ini memang cantik, cuma sedikit kotor dan berhabuk. 

Kami ade memanggil seorang pakcik untuk membersihkan rumah itu sebelum kami berpindah. Apabila kami berpindah masuk, rumah itu kelihatan seperti tidak dibersihkan. Masih berhabuk dan kotor. Kawasan luarnya nampak seperti temboknya telah dicat semula. Kami pun bertanya kenapa tidak dibersihkan? Pakcik yang menyelaras kerja-kerja pembersihan berkata dia ternampak sesuatu di bumbung dan tak boleh meneruskan kerja2 pembersihan. Dia takut.

Kami pun panggil seorang pakar untuk semah & kami suami isteri pun membaca surah Yasin pada malam pertama & kedua. Bahagian tembok bekas asap kami cat. Malam pertama kami tidur lambat kerana sibuk memunggah barang & mengemas. Setelah masuk tengah malam, kami terus berhenti dan tidur kerana kepenatan. Pintu bilik kami tidak tutup kerana anak kami yang berusia dua puluh empat tahun masih mengemas biliknya. Pintu biliknya pun dia tidak tutup. Bilik tidur kami di tingkat dua. Malam itu setelah terlelap, tiba2 terdengar bunyi bising di bumbung seperti orang sedang menarik2 kerusi malas dan menghentakkan kaki ke lantai.

Keesokan harinya, anak saya mengatakan ada ternampak seorang wanita tua sedang duduk di anak tangga. Rambutnya panjang dan putih. Bajunya pun panjang dan putih. Anak saya tutup pintu dan terus tidur. Malam2 seterusnya pun kami dengar hentakkan kaki dan bunyi kerusi ditarik2. Kami tak boleh tidur setiap malam kerana bunyi bising. Saya ada bertanya seorang kawan India. Katanya  itu dewa pahlawan dari India. Dia suruh saya beli tembakau sentil dan letakkan sedikit2 pada hari Khamis malam Juma'at. Itu makanannya dan dia tidak akan membuat bising lagi. Suami kata itu bukan budaya kita. Seolah2 kita nak pelihara dia. Kami tak teruskan.

Kami mula rasa takut dan curiga. Ada juga pernah saya ternampak pada waktu siang, kain kuning seperti dikibar di bilik bawah. Kami sekeluarga keluar rumah setiap hari dari 6 pagi sampai sekitar 10 malam. Maklumlah hari2 tempuh kesasakan lalulintas di Koswe. Tapi bilk mandi kami ketika pulang selalu basah seperti ada orang yang baru habis mandi. Setiap malam anjing jiran kami akan menghadap ke rumah kami dan menyalak sekitar 2-3 pagi. Lama2 saya rasa takut & mula nampak imbasan2. Kerana tidak tahan, kami pun pindah ke rumah lain hampir setahun tinggal di situ...

Kamisah...

TERIMA KASIH KAMISAH!!!

Buat Renungan...

Assalamualaikum KC dan para pendengar,

Nama saya Hidayat. Dan saya dulunya pelajar di sebuah Madrasah di Singapura. Saya hendak berkongsi satu perkara yang boleh kita semua dapatkan iktibar daripadanya. Di sekolah, kami memang ada belajar bab-bab ilmu ghaib dan makhluk halus. Khususnya jin dan syaithan. Dan salah satu perkara yang saya belajar sewaktu di madrasah dulu adalah tentang bagaimana kaitannya MASA / WAKTU dan KEMUNCULAN / KEHADIRAN makhluk jin dan syaithan.

Sebenarnya, MASA dan WAKTU tidak ada kena-mengena langsung dengan kemunculan makhluk2 ini. Maknanya, tidak ada hadith sahih ataupun dalil yang mengatakan bahawa MALAM JUMAAT itu waktu khusus untuk makhluk2 ini muncul. Sama juga, tidak ada dalil yang mengatakan bahawa jam 12 malam ataupun jam 3 pagi, adalah waktu2 makhluk2 ini muncul.

Jadi kesimpulannya, janganlah kita taksub sangat dengan pemahaman yang masa2 sebegini membuat 'hantu' datang. Walaubagaimanapun, memang ada unsur2 yang sahih, yang mengatakan bahawa waktu antara Asar dan Maghrib, syaithan banyak keluar. Disebabkan inilah, waktu Asar tidak ada solat sunat Ba'diyah (Selepas).

Malahan, MALAM JUMAAT adalah malam yang afdhal untuk kita beribadah.

Assalamualaikum...

Wa'alaikumussalam... Terima Kasih Hidayat!!!

Tuesday, April 24, 2012

Mata Merah

Hi KC,

Nama saya Din, saya ingin menceritakan kisah yang berlaku pada saya dan rakan-rakan semasa menjalani perkhidmatan negara pada tahun 2001 di Akademi Lama Polis.

Kami kerap diganggu pada waktu tidur seperti mendengar bunyi kanak-kanak bermain guli, penampakan di billik mandi dan juga rakan yang menceritakan penampakan wanita berbaju putih duduk dan merenung ke arah saya yang sedang tidur tapi yang pelik hanya saya seorang yang tak mengalami apa-apa gangguan mungkin kerana saya mengikut pesanan ibu untuk meletakkan buku Yasin di bawah bantal.

Pada suatu malam sedang kami sedang menggilap kasut, tiba-tiba rakan berbangsa Cina bangun pukul satu pagi lalu keluar dari barrack terus ke bilik mandi. Lama betul, ada sekitar setengah jam dia kembali dan terus menendang rakan sekatilnya lalu memaki hamun. Kami yang lain membantu untuk menenangkan keadaan dan menyuruh dia tidur semula.

Keesokan harinya kami bertanya apa yang berlaku dan terperanjat bila beliau menceritakan bahawa rakan yang ditendang telah mengejutkannya, suruh temankan ke tandas. Selepas itu dia menceritakan yang rakannya telah meninggalkan dia seorang diri di tandas tanpa memberitahu beliau dia hendak kembali ke barrack. Kami sebenarnya nampak beliau keluar sendirian... Siapa yang kejutkan beliau??? 

Terima Kasih...

TERIMA KASIH DIN!!!

Jelmaan Wanita Tua Di Rumah

Selamat tengah malam KC dan para pendengar Ria Misteri Jam 12,      

Di sini saya ingin menceritakan tentang pengalaman yang menyeramkan, menakutkan dan membingungkan. Perkara ini terjadi pada tahun yang lalu sewaktu saya sekeluarga menyewa rumah empat bilik dari kawasan perumahan di Teck Whye. Keluarga kami tidaklah begitu ramai. Saya, isteri dan tiga orang anak kecil tidur di bilik tidur utama. Abang saya pula tidur di salah sebuah bilik. Pembantu rumah kami tidur di ruang tamu. Pada mulanya kami tinggal di situ sekitar tiga bulan, tiada apa-apa kejadian yang aneh berlaku. Sehinggalah pada suatu hari pembantu rumah mengadu kepada saya bahawa dia sering terjaga pada waktu malam  antara satu lebih pagi.

Pembantu menceritakan apabila dia terjaga seolah-olah seperti dikejutkan dan bila dia sudah terbangun, matanya celik dan tidak rasa mengantuk pun. Pembantu melihat sekeliling ruang tamu dan tidak melihat apa-apa pun, sampailah dia terperanjat apabila terlihat di sudut penjuru belakang pintu utama, dia ternampak ada seorang wanita tua berpakaian putih bercampur kekuningan seperti kain putih yang berkotoran dengan tanah. Rambutnya juga seperti beruban rebang di kepalanya. Wanita tua itu cuma berdiri tegak tidak bergerak sesaat pun. Lalu pembantu sempat membaca Ayatul Kursi dan wanita tua itu hilang secara perlahan-lahan. Dalam masa seminggu pembantu mengalami perkara yang sama sehingga dia menceritakan sendiri kepada saya.     

Perkara aneh ini menjadi perhatian kami dan saya sekeluarga mengambil keputusan untuk tidur di luar. Ruang tamu di rumah ini ada dua bahagian dan sungguh besar, ketiga-tiga anak kami tidur bersama pembantu di bahagian ruang sebelah pintu dan saya dan isteri tidur di ruang sebelah tingkap. Isteri tidur di atas sofa dan saya pula tidur di bawah tingkap menggunakan tilam. Pada mulanya kami semua tidur seperti biasa dan kali ini saya pula yang terjaga. Lalu saya melihat telefon bimbit, waktunya 2.30pagi dan setelah itu saya melihat kesemua arah di dalam  ruang tamu dan tidak melihat apa-apa pun yang aneh. Bila saya sedang pandang ke arah ruang tamu, posisi badan saya mereng ke sebelah kiri. 

Secara tiba-tiba saya terasa seperti ada orang baring di sebelah saya. Pada mulanya saya teringat mungkin isteri telah mengalih tempat dari atas sofa ke tilam saya. Tetapi anggapan saya salah setelah saya ternampak isteri saya masih terlena tidur di atas sofa dari pancaran kaca televisen. Dengan tidak membuang masa, saya hayunkan lengan saya ke muka benda itu dan benda itu terus langsung merangkak dan menolak kaki saya dan terus tembus masuk ke dinding bawah tingkap. Saya sempat melihat benda itu warnanya hitam legam dan berambut panjang. Susuk badannya merupakan seorang wanita.     

Pada keesokan malam, perkara yang sama berlaku ke atas diri saya. Kali ini apabila saya terjaga, benda  itu sudah pun duduk bersila di atas tilam sebelah saya. Saya terperanjat dan langsung menendang benda itu dan kali ini, benda itu melawan dan mencengkam kaki saya dengan jari kukunya. Kemudian saya tarik rambutnya dengan menggunakan tangan. Benda itu terus hilang dari genggaman seperti lilin yang cair. Kejadian itu berlaku terlalu cepat. Saya tidak menceritakan hal ini kepada isteri, khuatir nanti dia akan teringat-ingat.

Keesokkan malam saya beralih tempat, kali ini saya tidur di atas sofa dan isteri pula tidur di bawah tingkap. Pada malam itu saya tidur ayam-ayam sahaja kerana saya hendak perhatikan apa pula yang datang kali ini. Pejam celik pejam celik tiada apa yang berlaku, tiba-tiba isteri kejut, “Bang, tengok siapa yang duduk di kerusi meja makan tu?” Saya tidak lihat apa-apa, tapi isteri saya yang dapat melihat. Kata isteri bendanya warna hitam dan rambutnya panjang ke lantai. Benda itu sedang duduk di kerusi meja makan dan pandang ke arah dinding. Apabila saya hendak bangun benda itu hilang perlahan-lahan kata isteri.     

Saya bertambah musykil dan ingin tahu apakah benda itu mahu. Lalu saya memberitahu saudara-mara dan sahabat tentang benda itu. Berbagai-bagai komen yang diberikan. Salah seorang anggota keluarga mahu cuba bertemu dengan benda itu, kononnya dia mahu melihat benda itu. Kami pun merancang dan seramai tujuh orang lelaki tidur di rumah saya. Kami membahagikan tempat, ada yang tidur di tepi pintu, ada yang tidur di tengah-tengah ruang tamu dan sebagainya. Saya tidur di  tepi sofa. Adik saudara saya menepuk bahu saya beberapa kali. Saya terjaga dan melihat posisinya dalam keadaan tiarap dan kepalanya menjenguk lihat di belakang saya sambil berkata, “Bang, ada orang tengok kita bang!” Bila saya toleh belakang dan lihat, Masya-Allah!!! Benda itu memang menjengukkan kepalanya sahaja, rambutnya punyalah panjang terhurai hingga ke lantai. Saya terus bangun dan benda itu hilang dari pandangan. Adik saudara saya terus menangis seperti anak kecil mungkin disebabkan terperanjat. Kejadian berlaku sekitar 3.50pagi.     

Saya dapat merasakan siapa saja yang tidur di bawah tingkap itu akan diganggu. Dan tak pasti lagi  kehadiran benda itu. Setelah selang beberapa hari ada seorang teman memberitahu kami bacalah beberapa potong ayat suci ke dalam air ataupun garam dan cuba renjiskan seluruh rumah. Kami lakukan seperti yang diajarkan dan menggunakan garam jantan ditabur sekeliling rumah. Setelah selesai upacara pada malam tersebut sekitar jam 11 malam, kami dapati ada semacam pasir halus dan mungkin juga seperti habuk. Warnanya kekuning-kuningan dan tiada bauan seperti apa yang anda lihat gambar2 yang telah saya sertakan.   

Saya kutip habuk itu dan disimpan di dalam botol. Kesokkan hari, habuk itu masih di dalam botol. Sepanjang hari ke petang, habuk itu masih di dalam botol. Selepas saja waktu  Maghrib, habuk itu sedikit pun tidak kelihatan di dalam botol itu lagi, yang ketinggalan hanya wap seperti peluh. Sungguh misteri dan membingungkan bagaimana ianya hilang. Ramai yang datang menolong untuk keluarkan benda ini tetapi mungkin belum ketemu jodohnya untuk pulih. Kami masih tinggal di situ kerana masih mempunyai kontrak. Setelah kontrak habis, kami akan berpindah ke kawasan lain.    




Terima kasih KC dan para pendengar Misteri Jam 12...

Dari peminat setia MJ12, 

Rasul Abdul Majid

TERIMA KASIH RASUL!!!

Kisah Mistik Di Kemayan City, Johor Bahru

Salam KC, 

Saya Syazni a.k.a Donie daripada seberang tambak Senai, Johor, ingin berkongsi cerita tentang kompleks membeli-belah yang terbengkalai di Johor Bahru yang mempunyai pelbagai kisah mistik. "Mall Berpuaka" - Itulah gelaran diberi kepada kompleks beli-belah terbengkalai Kemayan City di Tampoi apabila beberapa keluarga dari Singapura terjebak membeli-belah di situ sebelum pulang ke negara asal mereka dengan membawa daun kering atau barangan dibeli lenyap begitu saja. Cerita pelik dan menyeramkan berkaitan aktiviti paranormal di kompleks Kemayan City bukan lagi asing di kalangan masyarakat bandar raya ini, malah misteri alam ghaib di pusat beli-belah terbengkalai lebih 10 tahun lalu itu, menjadi buah mulut penduduk Singapura.

Bagaikan badi kepada warga Singapura, cerita menggerunkan di Kemayan City dikatakan popular di kalangan warga republik berkenaan yang mendakwa mengalami peristiwa dianggap susah diterima akal seperti berbelanja dan makan di pusat beli-belah yang sebenarnya tidak pernah beroperasi selepas projek itu terhenti pada 1998. Kejadian menyeramkan di pusat beli-belah berkenaan pernah dialami sekeluarga rakyat Singapura dari kawasan perumahan di Woodland pada Jun tahun lalu. Semuanya bermula apabila keluarga terbabit dikatakan mengunjungi pusat beli-belah terbengkalai terletak di tepi Jalan Johor Bahru-Air Hitam pada satu malam, ketika mereka dalam perjalanan pulang menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka. Sebaik tiba di Kilometer 13 Jalan Johor Bahru-Air Hitam menghala pusat bandar raya kira-kira jam 9 malam, keluarga terbabit tertarik ke arah bangunan di sebelah kiri jalan berkenaan yang bergemerlapan dengan lampu aneka warna dan meriah dengan kunjungan orang ramai. Tarikan itu menyebabkan keluarga terbabit membuat keputusan singgah dan mendapati kemeriahan itu adalah majlis pembukaan pusat beli-belah yang diadakan secara besar-besaran.

Menyangkakan Kemayan City dibaik-pulih dan memulakan operasinya, keluarga berkenaan tidak melepaskan peluang singgah memandangkan malam masih awal. Selepas berada lebih setengah jam di situ, keluarga berkenaan beredar kerana mempunyai satu lagi destinasi yang perlu singgah sebelum balik ke Singapura.Mereka menuju rumah saudara di Kampung Pasir yang terletak tidak jauh dari pusat beli-belah berkenaan. Ketika berada di rumah saudara, seorang ahli keluarga terbabit bercerita mengenai kehebatan majlis pembukaan Kemayan City ketika singgah di situ. Sungguh mengejutkan apabila keluarga malang itu mendapat berita daripada saudara mereka bahawa bangunan yang didakwa beroperasi sebenarnya masih terbengkalai sehingga kini, bahkan semakin usang.

Pengalaman yang ditempuhi keluarga terbabit diceritakan sendiri mangsa kepada pegawai di Unit Falaq Syarie Jabatan Mufti Johor, Hanafiah Abdul Razak.Menurut Hanafiah, beliau dihampiri mangsa ketika menyampaikan kuliah agama bulanan di kawasan perumahan berkenaan, beberapa hari selepas kejadian menyeramkan itu. “Lelaki itu sering mengikuti kuliah agama saya dan pada satu hari dia bertanyakan kepada saya apakah yang berlaku di Kemayan City kerana ada ahli keluarganya mendakwa berbelanja di pusat beli-belah itu. Namun, semua barangan dibeli itu termasuk pakaian, didapati hilang sebaik mereka tiba di rumah dan keadaan itu menimbulkan gangguan emosi kepada keluarga berkenaan selepas melalui detik dianggap pelik dan menyeramkan itu,” katanya.

Wassalam,

Syazni

TERIMA KASIH SYAZNI!!!

Thursday, April 19, 2012

Berbual Dengan "Ibu"...

Assalamualaikum DJ KC dan para pendengar setia MJ12,

Nama saya Aqilah. Pengalaman ini berlaku setahun dua yang lalu di dalam rumah saya yang di kawasan Pasir Ris.

Saya memang gemar tidur pada waktu malam kerana ini adalah waktu untuk saya beristirehat dengan menonton televisyen sebelum tidur. Pada hari itu, ibu bapa saya telah membeli makanan dari restoran makanan segera "KFC" untuk makan malam kami sekeluarga. Dipendekkan cerita, malam itu saya sedang menonton filem "Kallang Roar" yang telah dirakam oleh adik saya. Waktu sudah pun melepasi 12 tengah malam, agak-agak pukul 12.30 malam. Ibu saya sedang duduk di sofa hadapan saya, khusyuk menaip di komputer ribanya kerana sedang menyelesaikan kerja pejabatnya. Setelah habis, dia pun beredar dari ruang tamu, tetapi saya tidak mengendahkannya. Tidak tahu jika dia masuk bilik tidur atau apapun. Saya sedang khusyuk menonton rancangan televisyen itu.

Selepas beberapa minit, saya perasan ada lembaga sedang duduk di kerusi meja makan. Waktu sekitar satu pagi ketika itu. Di atas meja makan terletak ayam "KFC" yang tidak dapat kami habiskan. Saya tidak menoleh untuk melihat lembaga itu, sekadar dari tepi mata sahaja saya perasanlah ada seseorang duduk di situ. Saya tidak mengesyaki apa-apa pun, saya sangka itu ibu yang telah beredar dari ruang tamu beberapa minit lalu. Gerak-geri ibu seperti sedang memakan ayam "KFC" yang belum habis itu.

Setelah menonton aksi "Dollah Kassim" dalam filem itu, saya pun bertanya kepada ibu dalam Bahasa Inggeris (keluarga saya berbahasa Inggeris di rumah), "Ma, is this true? The Singapore team was really this good last time?" Ibu tidak jawab. Dia masih kelihatan seperti sedang makan. Saya menunggu tetapi tetap tiada jawapan dari ibu. Saya kembali menonton filem itu, tidak terus bertanya kerana mungkin ibu tidak mahu diganggu apabila sedang makan. Saya tidak melihat ke arah meja makan, mata hanya tertumpu pada skrin televisyen sahaja, tidak mengendahkan lagi ibu yang sedang makan. Selepas habis rancangan itu, saya beredar ke bilik untuk tidur. Bila hendak ke bilik, ibu sudah tidak ada di meja makan. Saya sangka ibu sudah masuk bilik untuk tidur.

Keesokan harinya, saya bertanya kepada ibu, "Ma, after you finished your work, where did you go?" Ibu memberitahu saya yang dia masuk tidur selepas habis kerjanya. Saya musykil. Bertanya lagi kepada ibu, "Huh you weren't at the dining table eating the leftover food?" Wajah ibu hairan. Memang, kata ibu, dia terus pergi tidur selepas habis dengan kerjanya. Saya terdiam. Jadi, apakah lembaga itu? Nasib baik "dia" tidak menjawab. Mungkin ini adalah sebab orang-orang tua kata, makanan jangan ditinggalkan di atas meja, harus disimpan.

Terima kasih kerana sudi membaca cerita ini. Selamat malam.

Dengan ikhlas,

Aqilah

TERIMA KASIH AQILAH!!!

Nek Siti Dijemput Hantu

Assalammualaikum KC dan semua pendengar MJ12,

Salam sejahtera saya ucapkan. Saya ingin berkongsi satu cerita yang pernah saya dengar dari ibu saya. Kejadian ini berlaku di sebuah kampung di Malaysia pada tahun 1960an semasa ibu saya masih remaja. Ini adalah cerita benar dan sama sekali bukan sebuah rekaan.

Kejadian ini berlaku pada salah seorang saudara ibu saya. Namanya Nek Siti. Nek Siti adalah seorang penjual Nasi Lemak di salah sebuah sekolah di kampung itu. Tiap-tiap hari Nek Siti akan menemani anak menantunya yang baru melahirkan. Jarak rumah Nek Siti dan rumah menantunya lebih kurang 500 meter. Jadi, tiap-tiap hari sebelum Maghrib, Nek Siti akan ke rumah menantunya untuk menjaga anak yang baru lahir.

Pada suatu hari, sebelum Nek Siti keluar untuk pergi ke rumah anak menantunya, dia berpesan pada suaminya, Tok Daud. Katanya "Bang jangan lupa nanti ambil saya pukul 5 pagi". Selepas berpesan, Nek Siti pun menuju ke rumah anak menantunya. Pada malam itu sedang semuanya sedang tidur, kedengaran suara Tok Daud memanggil Nek Siti.

"Ti oh Ti, Ti!" terdengar suara Tok Daud.

Anak menantunya yang terdengar suara itu mengejutkan Nek Siti yang sedang nyenyak tidur.

"Mak oh Mak, Wak dah datang tu. Oh Mak, bangun" kata anak menantunya.

Nek Siti pun bangun. Tanpa memandang ke arah jam dinding, Nek Siti pun mencapai selendangnya dan membuka pintu rumah. Ternampak seorang lelaki yang saling tak tumpah seperti Tok Daud berdiri agak jauh dari pintu rumah itu. Nek Siti pun berjalan mengikut lelaki yang disangkakan Tok Daud.

Yang peliknya, kali ini Tok Daud berjalan jauh mendahului Nek Siti tanpa berkata-kata. Dia ada memegang lampu suluh yang agak kecil. Nek Siti yang sudah agak tua tercungap-cungap cuba berjalan sepantas Tok Daud.

"Bang, oi Bang, tunggu. Kenapa jalan cepat sangat ?" tanya Nek Siti.

Tiba-tiba lelaki yang berjalan di hadapan Nek Siti itu lenyap dari pandangan Nek Siti. Alangkah terperanjatnya Nek Siti. Nek Siti menjadi takut dan kakinya menggeletar. Dia pun menguatkan dirinya dan berjalan pulang ke rumahnya yang berdekatan dengan tempat kejadian.

Nek Siti mengetuk pintu sekuat yang dia mampu dan berteriak memanggil suaminya Tok Daud yang rupa-rupanya sedang nyenyak tidur di dalam rumah. Rupa-rupanya jam baru pukul 3 lebih pagi dan lelaki yang menjemput Nek Siti itu bukanlah Tok Daud. Khabarnya, Nek Siti terus demam dan tidak dapat berniaga di sekolah selama beberapa hari.

Wallahualam.

Terima kasih dan Selamat malam KC dan pendengar MJ12...

Khalid...

TERIMA KASIH KHALID!!!